Perkahwinan boleh menghalang maksiat
DALAM kekecohan kita mendengar berita muda mudi Melayu terbabit dalam kegiatan maksiat yang berkaitan dengan seks bebas dan rambang maka penyelesaian yang diajar oleh Islam perlulah diteliti untuk difahami dan diguna pakai.
Apa yang nyata terbabitnya seseorang dalam perzinaan adalah disebabkan kegagalan benteng dirinya untuk mengawal nafsu seks yang memuncak. Tahap umur remaja adalah peringkat utama yang sangat terdedah kepada kehausan nafsu dan perasaan ingin mencubanya.
Kita juga perlu menyedari dan mengakui bahawa suasana dan sistem yang diguna pakai dalam masyarakat juga tidak memiliki benteng yang kukuh dan dapat membendung segala gejala yang berlaku itu.
Justeru, masyarakat perlu kembali sepenuhnya kepada peraturan Islam yang syumul dan diturunkan Allah yang menjadikan manusia. Pelaksanaan Islam secara fuzii (serpihan) tidak dapat memberikan penyelesaian yang sebenar kepada permasalahan itu kerana Islam perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
Semua perkataan Allah dan Rasul-Nya adalah benar bahkan wajib diimani sebagai benar tanpa perbezaan antara sesuatu arahan dengan yang lain.
Dalam menanti pengembalian umat secara total kepada Islam, tulisan ini cuba melihat kepada satu daripada hadis nabi yang menggariskan benteng individu daripada mudah terjebak ke kancah seks secara haram.
Rasulullah bersabda, bermaksud: "Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya (daripada syahwat)." - (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah).
Rasulullah menunjukkan hadis di atas kepada golongan muda yang disebut sebagai syabab (pemuda). Dalam Syarh Sahih Muslim, Imam al-Nawawi ada menyatakan: Perkataan syabab atau jama (kata banyak) untuk syabb dan boleh juga dijamak dengan syubban dan syababah dan perkataan syabab (pemuda), pada pendapat ulama al-Syafie ialah sesiapa yang sudah berumur baligh dan belum mencapai 30 tahun.
Rasulullah memberi penekanan kepada umur sebegini kerana ia berada pada peringkat segala-galanya memuncak kecuali kematangan. Kebiasaannya pada peringkat umur ini, nafsunya tinggi, semangatnya kuat, kesanggupan untuk melakukan sesuatu juga besar, tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di dalam pelbagai perkara namun malangnya, kebanyakan perhitungan mereka itu singkat belaka.
Dalam Fath al-Bari bi Syarh Sahih, al-Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalani pernah berkata: "Digalakkan golongan muda berkahwin kerana pada mereka ada kekuatan yang mendorong kepada perkahwinan. Ini berbeza jika dibandingkan dengan golongan tua. Namun begitu, jika perkara yang sama ada pada golongan tua maka mereka termasuk dalam maksud hadis ini."
Justeru, Islam memberikan perhatian yang istimewa dalam membentuk pemuda. Dalam surah al-Kahfi umpamanya ada menceritakan sejarah perjuangan kalangan pemuda.
Jika golongan pemuda dididik dengan betul maka umat akan teguh, sebaliknya jika golongan ini berjaya dimusnahkan oleh musuh Allah seperti yang berlaku pada hari ini dengan sogokan hiburan yang merosakkan maka umat pun akan hilang kekuatan dan bisanya.
Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah (berkahwin) maka hendaklah dia berkahwin." Kalangan ulama secara umumnya mempunyai dua pendapat mengenai makna al-baah iaitu kemampuan berkahwin seperti disebutkan di dalam hadis di atas.
Pendapat pertama dan paling sahih: Mengikut bahasa Arab, al-baah bermaksud jimak seperti, iaitu sesiapa yang mampu melakukan jimak dengan menyediakan keperluan perkahwinan maka hendaklah dia berkahwin.
Justeru, sesiapa yang tidak mampu berjimak kerana dia tidak mampu menyediakan keperluan perkahwinan maka hendaklah dia berpuasa. Pendapat ini sesuai dengan ucapan yang ditujukan kepada pemuda yang mempunyai perasaan syahwah yang kuat terhadap perempuan. Maka munasabah perkara jimak ini dipertegaskan.
Pendapat kedua: Al-baah bermaksud keperluan perkahwinan iaitu sesiapa yang mampu menyediakannya maka hendaklah dia berkahwin dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa untuk menahan syahwatnya. Punca yang menyebabkan pendapat ini dikemukakan ialah kerana kata mereka hadis itu me-nyebut mengenai puasa untuk menghalang nafsu sedangkan mereka yang mampu berjimak tidak perlu berpuasa untuk memelihara nafsu.
Namun golongan pertama menjawab pendapat berkenaan berdasarkan apa yang mereka kemukakan iaitu sesiapa yang tidak mampu berjimak disebabkan tidak mampu menyediakan keperluan perkahwinan. Sebenarnya seperti kata al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim: Perbezaan pendapat di atas hanya membawa kepada maksud yang sama.
Kesimpulannya, apabila seseorang itu mempunyai kemampuan jimak dan keperluan membina rumah tangga maka Rasulullah memerintahkan agar dia segera berkahwin. Perkataan al-nikah itu sebenarnya datang daripada istilah: "Lafaz yang mengandungi maksud mengharuskan bersuka-suka kedua-dua suami isteri antara satu sama lain dalam bentuk yang diizinkan syarak."
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya, perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan."
Justeru, dengan adanya perkahwinan yang halal maka wujud tempat untuk mencurahkan syahwat dengan cara yang baik dan halal. Tekanan perasaan keinginan dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai Allah. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Apabila seseorang kamu terpaut (rasa kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya" - (Riwayat Muslim).
Oleh itu kewujudan isteri yang sah dapat memelihara larangan Allah yang bersangkutan dengan kemaluan dan mata. Justeru, ibu bapa yang mendapati anak mereka terlalu inginkan perkahwinan maka hendaklah segera diuruskan bagi menyahut seruan Rasulullah.
Urusan perkahwinan pula hendaklah dipermudahkan dengan berpandukan syariat. Kadangkala kesukaran menuju ke gerbang perkahwinan itu menyebabkan sebahagian manusia mencari ruang yang haram. Ini disebabkan kelemahan diri dan tidak terdaya melawan tuntutan nafsu.
Segala adat istiadat perkahwinan yang menyanggahi sunnah hendaklah dihapuskan agar perkahwinan dipermudahkan. Antaranya, meninggikan hantaran perkahwinan, ini sangat menyusahkan urusan yang halal sedangkan agama meminta agar mahar tidak ditinggikan.
Ibn Taimiyah dalam al-Fatwa al-Kubra berkata: "Menjadi suatu sunnah agar dimurahkan mahar." Seterusnya, baginda bersabda: "Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa penghalang untuknya (daripada syahwat)."
Bagi sesiapa yang belum mampu berkahwin disebabkan keadaan kemampuannya maka syarak menggalakkan dia berpuasa. Daripada hadis itu juga dapat difahami bahawa puasa mempunyai fungsi yang kuat dalam melenturkan kerakusan nafsu. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari: "Hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa tidak mampu berjimak maka dia diminta meninggalkan perkahwinan."
Maka dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzah disebut: "Sesungguhnya apabila seorang daripada suami atau isteri mendapati kecacatan pada pasangannya maka dia memiliki hak membuat pemilihan ikatan perkahwinan. Kecacatan yang berhak untuk dirongkaikan perkahwinan itu lima perkara, tiga daripadanya membabitkan suami isteri dan dua daripadanya hanya pada suami atau dua hanya pada isteri. Ada pun tiga yang membabitkan suami isteri ialah: gila, kusta dan sopak. Ada pun dua yang berkait dengan suami ialah: putusnya zakar dan mati pucuk. Ada pun yang berkait dengan isteri ialah al-Qarn (iaitu tertutupnya lubang faraj dengan tulang yang menghalang jimak) dan al-Ratq (tertutupnya lubang faraj dengan daging yang menghalang jimak).
Dengan itu juga, dalam konteks zaman ini, sesiapa yang menghidap penyakit Aids maka pasangannya berhak memutuskan perkahwinan kerana persetubuhan dengannya boleh membawa kemudaratan.
Bagi yang berkemampuan jimak tetapi tidak memiliki keperluan nikah yang cukup maka dia dituntut berpuasa. Di dalam al-Fatwa al-Kubra, Ibn Taimiyah ketika ditanya mengenai perlukah seseorang yang tidak mampu menyediakan keperluan perkahwinan itu meminjam untuk berkahwin, beliau menjawab: "Sesungguhnya Allah berfirman, maksudnya: "Dan orang yang tidak mampu berkahwin hendaklah mereka menjaga kehormatan diri sehingga Allah memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurnia-Nya" (An-Nur: 33).
Daripada segi lain, kita juga dapat memahami bagaimana cara Islam menangani sesuatu perkara. Islam mengharamkan zina tetapi mengizinkan perkahwinan yang sah, mencegah insan mukmin daripada terbabit dalam kancah maksiat sekali gus mencadangkan cara dan langkah mengatasinya.
Sep 18, 2007
HIKMAH PERKAHWINAN
Diposting oleh shamsul & intan di 7:43 AM
Sep 13, 2007
Amalan pelik pengikut Tok Pa
KUALA TERENGGANU: Seorang ketua ajaran pelik yang menjadi buruan kakitangan kerajaan kerana dikatakan memiliki ilmu bertaraf ‘karamah’ didakwa meminta pengikutnya hanya melihat bulu romanya meremang bagi menentukan waktu berbuka puasa.
Lelaki dikenali Tok Pa, berusia 50-an dan berstatus hartawan itu dikatakan aktif menjalankan kegiatan di sebuah kampung terpencil di daerah ini.
Dia yang mempunyai empat isteri, termasuk seorang daripadanya kakitangan kerajaan juga menggunakan ilmu hitam bagi membolehkan pengikutnya mematuhi permintaan dan arahan.
Tok Pa menjadikan umpan ilmu itu bagi menjerat pengikutnya.
Kegiatan lelaki itu didedahkan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Darul Iman (UDM) di sini, Dr Abdul Manam Mohamad selepas didatangi bekas pengikut ajaran terbabit, baru-baru ini.
Menurut Dr Abdul Manam, bekas pengikut berusia 40-an itu menyertai kumpulan ajaran lelaki terbabit kira-kira lima tahun lalu dan meninggalkannya selepas mendapati ia bertentangan dengan Islam.
Katanya, bekas pengikut itu juga memberitahu ahli kumpulan terbabit hanya perlu berzikir seharian dan boleh meninggalkan solat fardu.
“Lebih pelik, bagi menentukan waktu berbuka puasa, pengikut hanya perlu melihat bulu romanya (Tok Pa) meremang sebelum boleh menjamah makanan.
“Amalan pelik itu disedari apabila mendapati penghuni di perkampungan itu sudah berbuka puasa lebih awal walaupun belum masuk waktu Maghrib.
“Malah, apabila ditanya, mereka mendakwa berbuka puasa selepas melihat bulu roma Tok Pa meremang,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, bekas pengikut ajaran terbabit juga memberitahu, Tok Pa kini bertaraf hartawan dipercayai hasil sumbangan pengikutnya yang taksub.
Malah, dia juga memberitahu ada kalangan pengikut wanita yang dikatakan bercerai dengan suami semata-mata untuk berkahwin dengan Tok Pa.
“Selain itu, ada suri rumah yang sanggup menjual tanah sebelum wang itu dipercayai diserahkan kepada ketua ajaran terbabit.
“Saya difahamkan, Tok Pa memiliki wang dan harta yang banyak dan sudah membuka sebuah lagi perkampungan lain di Kelantan dipercayai bagi mengembangkan ajaran sesatnya itu,” katanya.
Kata Dr Abdul Manam, ketua ajaran sesat itu dipercayai mewujudkan perkampungan di kawasan pedalaman bagi mengelak kegiatannya dikesan pihak berkuasa selain memudahkannya melakukan kegiatan tidak bermoral.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada pengikut yang sanggup menyerahkan anak gadis mereka untuk dipersembahkan kepada ketua ajaran terbabit.
“Saya juga yakin lelaki terbabit menggunakan ilmu hitam bagi menundukkan pengikutnya menyerahkan apa saja yang diminta.
“Memang pengikutnya akan berang jika didakwa seperti ini tetapi sebenarnya mereka tidak sedar ilmu sesat yang diamalkan,” katanya.
Berdasarkan pengakuan bekas pengikut ajaran terbabit, Dr Abdul Manam berpendapat Tok Pa dan pengikutnya tidak mahu melakukan ibadah syariat.
Menurutnya, kumpulan itu mungkin menganggap syariat itu hanya kulit semata-mata, manakala isinya adalah hakikat (haqoqah) dan makrifat yang disangka mereka sudah mencapai tahap hakikat dan makrifat itu.
“Mereka mungkin menyangka Tok Pa sudah sampai ke tahap tinggi dalam perkembangan kerohanian dan kerana itu, tidak perlu lagi bersusah-payah melakukan ibadah syariat.
“Bukan setakat itu, kumpulan terbabit juga memandang rendah kepada orang yang mengamalkan syariat itu.
“Bagi mereka, zikir semata-mata sudah mencukupi bagi menggantikan amal ibadah kerana tujuan melakukan amal ibadah itu untuk mengingati Allah.
“Mereka yang beranggapan seperti ini sebenarnya terkeliru dalam memahami beberapa dalil al-Quran dan hadis,” katanya.
Diposting oleh shamsul & intan di 6:11 PM
Sep 12, 2007
KISAH TELADAN
Encik Hamdan selambe je lepak sambil tengok TV walaupun azan maghrib dah lama berlalu.Sebenarnye bukan setakat maghrib je beliau buat derrrkk malahan semua waktu sembahyang pun beliau buat tak kisah.
Diposting oleh shamsul & intan di 8:50 PM
Sep 10, 2007
RAMADHAN YA RAMADHAN
mari kita berdoa moga RAMADHAN kali ini memberi satu kerahmatan dan keampunan bagi kita semua...amin YA ROBBAL ALAMIN..


Diposting oleh shamsul & intan di 4:31 PM
