DI sebalik keajaiban peristiwa Israk Mikraj, tersingkap seribu satu pengertian yang sewajarnya direnung dan diambil pengajaran supaya dapat memperteguhkan lagi keimanan, memupuk ketakwaan dan memotivasikan diri beribadat.
Penceramah bebas, Ustaz Daud Che Ngah, berkata peristiwa itu sendiri antara lain memperlihatkan kepada umat Islam mengenai penghijrahan roh.
“Roh pertamanya berada di dalam simpanan Allah, kemudian di dalam rahim ibu dan apabila cukup tempohnya di dalam satu jasad dan lahirlah ke dunia.
“Ini menunjukkan badan (jasad) mesti mengikut roh. Jadi, apabila mengucap kalimah syahadah iaitu mengaku diri orang Islam kenalah ikut seperti diakui, melakukan amalan yang difardukannya,” katanya dalam satu siri ceramah di surau Lumpur, baru-baru ini.
Firman Allah dalam surah az-Dzariyaat, ayat 56, bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.”
Menurut Daud, ayat itu sangat jelas merujuk kepada tanggungjawab utama manusia iaitu beribadat kepada Allah.
“Selepas mengaku Muslim, solat kemudian berpuasa, malam juga digalakkan banyak mengerjakan solat, disuruh bayar zakat, haji dan umrah,” katanya sambil menegaskan kepentingan ibadat solat.
“Solat diperintahkan Allah kepada Rasulullah s.a.w melalui Israk Mikraj untuk dilakukan seisi umat Islam, daripada 50 waktu tinggal saja lima waktu, tetapi ganjarannya tetap berganda.
“Ibadat solat adalah paling penting bagi Muslim dan janganlah kita meninggalkannya dengan sewenang-wenangnya, kerana bukan mudah untuk menggantikannya, malah amat rugi usia berlalu sia-sia saja.
“Apabila sampai umur iaitu baligh, laksanakanlah amal ibadat seperti difardukan, jangan tunggu usia tua atau bagi sesetengah orang sehingga umur 40 tahun baru mahu berubah menjadi rajin,” katanya.
Menurutnya, beribadat kepada Allah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas, bukannya secara sambil lewa serta bermusim saja kerana semuanya akan dihitung.
“Janganlah apabila sudah terlambat baru mahu menyesal dan sedar, ingin melakukan amal ibadat,” katanya.
“Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman.” (as-Sajdah: 12)